Sunday, December 26, 2010

Saya dan Isteri-Isteri: Isteri #4

Koleksi di dalam wardrob? Liverpool Home 2010/12, Liverpool Away 2010/12
Alkisah...

Saya mengaku bahawa Man Utd adalah pasukan kesayangan saya. Namun, sebelum pasukan itu berjaya menambat hati ini, ada lagi satu pasukan yang telah berjaya melakukannya terlebih dahulu. Pasukan itu tidak lain dan tidak bukan adalah Liverpool FC.

Ya, Liverpool FC. Seteru tradisi Man Utd.
Kedua-dua pasukan ini mempunyai persamaan yang ketara. Dengan jersi merah kegemaran saya sebagai warna utama, kedua-dua pasukan ini juga memegang rekod kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang sama iaitu sebanyak 18 kejuaraan. Apa yang membezakan di antara kedua-dua seteru ini adalah cinta pandang pertama.
LFC adalah cinta pertama saya. Tiada sebab yang dapat saya cari untuk jatuh cinta dengan pasukan ini. Saya cuma jatuh cinta. Sayangnya, ketika itu cinta itu adalah cinta terlarang.
Tiada yang lebih utama sebagai cara saya untuk menunjukkan rasa cinta saya terhadap sesebuah pasukan melainkan dengan memakai jersi pasukan tersebut. Sayangnya, ketika itu, LFC mempamerkan jenama minuman keras pada jersinya. Oleh kerana itu, cinta itu saya pendam dalam-dalam sehinggalah Man Utd menjelma dan merampas kedudukan LFC di hati saya.
Segala-galanya berubah sehinggalah musim 2010/12. Apabila mendengar bahawa LFC telah menandatangani perjanjian penaja utama dengan Standard Chartered, cinta pertama itu memekar semula. Cinta itu tidak terlarang lagi.
Sememangnya LFC bukanlah sebuah pasukan yang hebat seperti dahulu. Bagaimanapun, pertembungan dengan Man Utd adalah sesuatu yang saya nanti-nanti saban tahun. Isteri #1 melawan Cinta #1.
Sungguh, saya mencintai kedua-duanya.


Sunday, December 12, 2010

Saya dan Isteri-Isteri: Isteri #3

Isteri #3

Sebab jatuh cinta? Dia membayangi Isteri #1


Alkisah...
Pada tahun 1999, Bayern Munich dan MUFC telah bertembung di dalam suatu pertemuan epik final Juara-Juara Eropah yang mana dimenangi oleh MUFC pada saat-saat akhir. Pada waktu itu, nama-nama seperti Oliver Kahn, Bixente Lizarazu dan Elber menjadi bintang kelab gergasi dari Jerman ini. Pertembungan kedua-dua pasukan amat sengit sehingga membuatkan saya tidak senang duduk sewaktu menonton perlawanan akhir ini. Pada saat itu, saya menyedari bahawa pasukan ini bakal memberi saingan kepada MUFC yang sudah pun menjadi Isteri # 1 pada ketika itu.
Bagaimanapun, hati tidak terpikat untuk melamar sehinggalah pada tahun 2010. Sekali lagi, kedua-dua pasukan itu bertempur. Kali ini lebih awal dan kali ini Bayern Munich berjaya membayangi MUFC dengan corak permainan total football yang menarik. Nama-nama seperti Arjen Robben, Schweinsteiger dan Ribery dinobat sebagai wira yang melakar revolusi bolasepak Jerman yang sebelum ini dianggap bosan dengan corak permainan steriotaip.
Maka, apabila saya melalui kedai jersi bolasepak, saya terus merembat sehelai jersi pasukan ini biarpun Inter Milan yang dianggap sebagai pilihan akhirnya menjuarai Juara-Juara Eropah pada tahun tersebut. Tiada penyesalan di dalam diri saya kerana saya tahu inilah pasukan inilah yang dapat mengawal dominasi pasukan-pasukan lain tanpa terlalu mendedahkan diri di dalam mengejar populariti.

Saturday, October 23, 2010

Saya dan 'Isteri-Isteri': Isteri #2

Isteri #2

Sebab jatuh cinta? Seksi

Koleksi dalam wardrob? Barcelona Home 09/10, Barcelona Home 10/11

Tersebutlah kisah...

Elegan dan seksi. Sentiasa tampil dengan gaya bolasepak yang memukau, Barcelona memastikan dominasi bolasepak Sepanyol di pentas dunia. Ibarat isteri kedua yang tidak suka mengalah dan akan melakukan apa sahaja demi untuk berada di tempat teratas.

Nama-nama seperti Romario, Ronaldo, Ronaldinho dan yang terkini Lionel Messi menjajah tanah Catalan itu dengan keseksian bolasepak yang membawa kejuaraan demi kejuaraan kepada mereka. 'Isteri' yang sememangnya boleh diharap untuk menonjolkan diri ke hadapan.

Tidak saya ingat bagaimana saat pertemuan pertama dengan pasukan ini. Bukan sebuah cinta pandang pertama. Saya terpikat dengan kejayaan-kejayaan yang diperoleh pasukan ini di peringkat Eropah. Selain itu pasukan ini juga melahirkan bintang-bintang bolasepak masa hadapan. Lihat sahaja Cesc Fabregas, Bojan Krkic dan juga Pedro. Masa depan Sepanyol bergantung kepada pasukan ini.

Barcelona adalah kesinambungan masa hadapan bolasepak yang seksi dan elegan!

Tuesday, October 19, 2010

Saya dan 'Isteri-Isteri': Isteri #1

Isteri #1

Sebab jatuh cinta? Merah dan Eric Cantona.

Jersi Pertama? Man Utd Home 1999/2000, Umbro

Koleksi? Man Utd Home 1999/2000, Umbro, Man Utd Away 1998/1999, Umbro, Man Utd Home 2000/02 Umbro, Man Utd Centennial Umbro, Man Utd Away 1999/2000 Umbro, Man Utd 3rd 1999/2000 Umbro, Man Utd Away 2002/03 Nike, Man Utd Home 2009/10 Nike, Man Utd Home 2010/12 Nike

Tersebutlah kisah...

Dia berdiri di tengah-tengah padang menghadapi ketentuan yang bakal dikenakan ke atasnya. Pemain lawan sedang tersembam menyembah bumi sambil mengerang kesakitan. Rakan-rakan sepasukan mula mengerumuni pengadil apabila pengadil meniupkan wisel untuk menghentikan perlawanan buat seketika.

Kad merah. Dia tidak menyangka dia akan dibuang padang atas terjahan yang dilakukan. Dengan berat hati dia melangkah meninggalkan padang. Penyokong-penyokong lawan bersorak di atas pembuangan tersebut. Hatinya semakin menggelegak dengan kemarahan. Dia benar-benar berang.

Garisan padang dilintasi. Dia masih mempunyai halangan terakhir sebelum dapat melalui terowong untuk terus ke bilik persalinan. Dari jauh dia dapat mendengar caci-maki yang bersembur keluar daripada mulut-mulut penyokong tersebut. Dia cuba memekakkan telinga tetapi tidak berdaya.

Apabila salah seorang penyokong menghambur sumpah-seranah ke atasnya, dia tidak dapat bertahan lagi. Lantas dia menncari dan mengecam penyumpah itu dan tanpa ragu-ragu lagi dia melancarkan serangannya.

Satu tendangan ala kung fu menyinggah ke dada penyokong malang tersebut. Setelah insiden itu, para pegawai padang terpaksa mengerumuninya untuk menenangkan keadaan. Di dalam hati si penyerang dia berkata penyumpah itu bernasib baik kerana tendangan itu tersasar. Sasarannya yang sebenar adalah mulut penyumpah tersebut.

Ejekan penyokong lawan mengiringi langkahnya menuju terowong. Hukuman menanti dirinya untuk 'hadiah' yang telah diberikan. Penggantungan semusim? Dua? Denda? Hatinya berkira-kira dan rasa sesal mulai menerjah. Pengurus pasukan pastinya akan memberi leteran 'pengering rambut' kepadanya apabila tamat perlawanan. Ada banyak perkara yang perlu difikirkannya di bilik persalinan nanti.

Pertemuan pertama itu bukanlah sesuatu yang indah. Namun, kerana pertemuan itu akhirnya saya jatuh cinta. Pemain bernombor 7 dengan kolar baju yang dinaikkan itu adalah penyebabnya. Setelah insiden itu, Eric Cantona terpaksa menerima hukuman yang lebih berat. Namun, semua itu tidak menghalang pasukan Manchester United daripada terus melakar kejayaan demi kejayaan sehingga ke hari ini.

Saya dan 'Isteri-Isteri': Prolog


Bagi seorang lelaki yang normal, beristeri dan berkeluarga adalah suatu perkara yang lumrah. Naluri semulajadi manusia itu mengalir di dalam diri setiap insan demi memastikan kesinambungan alam yang hanya diketahui Sang Pencipta bilakah hentinya.

Di dalam usia 27 tahun, saya tidak dapat menafikan lagi kewujudan perasaan tersebut. Rasa iri menghenyak setiap kali menerima kad undangan perkahwinan daripada rakan-rakan yang seusia. Iri itu bertambah-tambah apabila rakan-rakan yang lebih muda juga sudah turut berumahtangga dan mengembangkan keluarga masing-masing.

Sesungguhnya hanya jauhari yang mengenal manikam.

Merenung kepada diri, saya merasakan diri belum layak untuk bergelar suami apatah lagi bapa. Demi menenggelamkan perasaan tersebut, saya mengalihkan 'cinta' saya kepada bolasepak. Saya mula memenuhkan wardrob saya dengan jersi-jersi bolasepak yang saya berkenan. Ada di antaranya yang boleh saya kategorikan sebagai sayang tahap sayangkan isteri.

Memandangkan setiap Muslim mempunyai had beristeri, maka saya hanya menempatkan 4 pasukan sahaja yang boleh dikategorikan pada tahap tersebut. Manchester United, Barcelona, Bayern Munich dan Liverpool adalah 'isteri-isteri' saya buat masa ini.

Opps, jangan salah sangka. Semua ini adalah sekadar analogi untuk memudahkan penceritaan saya di dalam entri-entri yang seterusnya. Satu jersi, satu cerita. Maka, tersebutlah kisah 'Isteri-Isteri' saya.

Tuesday, October 12, 2010

Jangan Menangis Untukku, Argentina...

Argentina Home WC 2010

Tahun Masuk Wardrob: 2010

Saiz: S

Alkisah...

Kisahnya cukup mudah. Waktu itu, Piala Dunia baru sahaja hendak membuka tirai. Saya pula memerlukan sebuah pasukan untuk disokong. Pasukan yang benar-benar berbaloi untuk disokong.

Saya sudah lama mengagumi gaya samba Brazil tetapi Mu'az, adik saya sudah menyokong pasukan tersebut. Kami tidak boleh menyokong pasukan yang sama kerana dia adalah peminat susah mati The Blues. Jadi, saya terpaksa mencari pasukan yang lain.

England? Rasanya tidak. Pasukan itu adalah pasukan yang terlebih-lebih mendapat perhatian. Jerman? Hmm, pilihan yang baik. Mereka adalah pasukan yang telah layak ke perlawanan akhir di dalam dua sesi Piala Dunia sebelum ini. Soalnya, mampukah mereka melakukannya buat kali ketiga dan sekaligus memenangi Piala Dunia? Portugal? Lupakan sahaja. Mereka adalah barisan bintang penuh skil yang syok sendiri.

Namun, sebelum saya sempat membuat pilihan tersebut, satu pasukan telah menonjol di kaca media. Semuanya kerana satu nama. Bukan Lionel Messi. Bukan Carlos Tevez. Namanya adalah Diego Maradona. Ya, jurulatih pasukan antarabangsa paling gila yang pernah dilantik.

Kehadiran Maradona telah merubah lanskap Piala Dunia kali ini. Motonya serang, serang dan serang. Dengan gaya tersendiri di tepi padang, Piala Dunia menjadi tontonan yang berbaloi dilihat. Memang tidak dinafikan penganjuran Piala Dunia kali pertama di benua Afrika penuh dengan warna-warni tetapi Maradona telah menambah satu warna yang baru yang tidak pernah terlihat sebelum ini.

Saya benar-benar teruja dengan kemunculan pasukan ini. Akhirnya, saya memilih Argentina. Walaupun gagal ke peringkat akhir, Argentina telah memberikan kelainan kepada Piala Dunia. Maradona dan Argentina telah mengajar kepada pasukan-pasukan lain apa ertinya bolasepak.

Klik gambar untuk melihat foto-foto lain jersi ini.

Saturday, October 9, 2010

Viva Espana!

Spain Home World Cup 2010

Tahun Masuk Wardrob: 2010

Saiz: S

Alkisah...

Sepanyol mula melakar sejarah apabila menjadi juara Eropah dua tahun yang lepas. Prospek untuk menjadi juara dunia pada tahun kelihatan begitu mengiurkan. Betapa saya sukakan pasukan yang mempunyai potensi untuk menang. Dengan hantaran-hantaran yang kemas dikemudi oleh Xavi dan Iniesta dan mesin gol David Villa, tidak hairanlah Sepanyol menjadi pilihan saya untuk menjadi juara. Apatah lagi kebanyakan pemain-pemainnya adalah berasal daripada kelab Catalan kesayangan saya, Bercelona.

Gerard Pique, Xavi, Iniesta dan yang terbaru David Villa telah berjaya membawa Sepanyol menjulang Piala Dunia buat kali pertama. Perlawanan akhir yang agak membosankan, terima kasih kepada corak anti-bolasepak Belanda, tetapi semua itu tidak menghalang satu bintang daripada terlakar di atas jersi kebanggaan Sepanyol sebaik sahaja pengadil meniup wisel penamat.

Saya cuba mendapatkan jersi 'home' pasukan ini sebaik pusingan kalah mati bermula. Sayangnya, saiz yang sepadan dengan tubuh kecil saya sudah kehabisan stok. Akhirnya, saya memilih jersi 'away' dengan mengabadikan nama salah seorang daripada penjaring terbanyak kejohanan tersebut pada jersi itu, David Villa. Saya tidak berputus asa kerana saya menanti jersi 'home' dengan satu bintang bersulam di atas lencana pasukan itu nanti.

Klik di sini untuk gambar-gambar lain jersi ini.



Friday, October 8, 2010

Al-Jazair Menentang Imperialis Barat

Algeria Away World Cup 2010

Tahun masuk wardrob: 2010

Saiz: S

Alkisah...

Demam piala dunia kembali lagi. Kali ini, buat kali pertamanya kejohanan itu berlangsung di benua Afrika. Penganjuran kali ini begitu berwarna-warni. Sehingga sekarang, masih lagi terngiang-ngiang lagu tema Piala Dunia 2010 yang menjadi siulan saban hari. Lagu tersebut mengingatkan perjuangan menentang penjajahan dan mendapatkan kebebasan.

Algeria telah ditempatkan satu kumpulan dengan dua buah negara yang merupakan antara kuasa besar dunia. England memang terkenal dengan imperialismenya hampir di seluruh dunia. Sehingga kini, kesan-kesan penjajahan mereka masih lagi dapat dilihat dengan terdirinya kesatuan negara-negara Komanwel. Amerika Syarikat pula merupakan negara yang boleh dikatakan sebagai kuasa neo-imperialisme.

Lalu, Algeria yang ditempatkan di dalam kumpulan yang sama dengan kedua-dua kuasa tersebut membawa satu sentimen di dalam perjuangan mereka. Penentangan ke atas penjajah. Sebagai seorang umat Islam, tidak dinafikan saya turut terbawa-bawa dengan sentimen bahawa Algeria merupakan negara yang mewakili umat Islam keseluruhannya.

Mereka bagaimanapun hanya mampu membawa balik satu mata tanpa sebarang jaringan. Suatu bukti bahawa umat Islam masih mempunyai perjalanan yang jaub untuk diiktiraf sebagai kuasa bolasepak dunia. Namun, kehadiran pasukan ini telah menghadirkan suatu harapan. Mereka berjaya menyekat England daripada mendapat mata penuh. Sementara Amerika Syarikat pula terpaksa bermati-matian sehingga ke minit-minit terakhir untuk mara ke pusingan seterusnya.

Jersi ini menandakan realiti masa kini umat Islam. Kita masih belum mampu memenangi sebarang pertarungan tetapi lihatlah, sekurang-kurangnya, kita berjaya membuatkan mereka 'sesak nafas'.

Dengan semangat dan keimanan yang teguh, pasti suatu hari nanti, kita pasti menang.

Klik di sini untuk gambar-gambar lain jersi ini.

Tuesday, October 5, 2010

Go, Korea!

South Korea World Cup 2002 Home

Tahun Masuk Wardrob: 2002

Saiz: M

Alkisah...

Tahun itu merupakan kali pertama Piala Dunia dianjurkan di rantau Asia. Korea Selatan dan Jepun telah dipilih sebagai tuan rumah bersama bagi kejohanan berprestij tersebut. Jepun ketika itu sudah diiktiraf di peta bolasepak dunia dengan pemain-pemain seperti Hideotoshi Nakata dan Kazu Miura tetapi Korea Selatan? Siapa yang kenal dengan Korea Selatan.

Waktu itu saya masih berada di kampus. Penganjuran Piala Dunia kali pertama di Asia membuatkan demam bolasepak sebagai suatu penyakit yang sukar diubat. Saya tidak mahu diubat. Saya memilih untuk mengikuti perkembangan dua tuan rumah kejohanan kali ini.

Jepun dengan barisan yang boleh dikatakan sebagai bintang bagaimanapun melalui jalan yang agak sukar. Mereka tersungkur lebih awal. Sebaliknya bagi Korea Selatan mereka telah melakar suatu kejutan. Buat kali pertama, sebuah negara Asia menjejak kaki ke separuh akhir.

Walaupun diulit kontroversi, semangat gung-ho yang ditunjukkan pasukan tersebut sepanjang kejohanan membuatkan pasukan-pasukan lawan mulai mengiktiraf kejayaan Korea Selatan di peringkat antarabangsa. Buat kali pertama juga, sorakan padu para penyokong bergema memenuhi stadium. Lautan merah dan laungan 'Go, Korea!" menjadikan wakil Asia itu sebuah gergasi yang bakal digeruni pada masa hadapan.

Nama-nama seperti Ahn Jung Hwan, Lee Chung Soon dan Park Ji Sung mulai mendapat perhatian. Saya mendapatkan jersi ini setelah tamat kejohanan. Jersi itu cukup laku sehingga saya menghadapi kesukaran untuk mendapatkan jersi dengan saiz yang sesuai. Setelah beberapa jam berpusing-pusing di Pusat Membeli-belah Queensway, Singapura, saya akhirnya memutuskan untuk mengambil jersi ini.

Semenjak itu juga saya dikenali sebagai Ahn Jung Hwan kerana jersi yang saya pakai setiap kali bermain bolasepak bersama-sama rakan-rakan di atas padang.

Klik di sini untuk gambar-gambar lain jersi ini.

Wednesday, September 22, 2010

Mengembang Cinta Ke Jerman

Bayern Munich Home 09/10

Tahun masuk wardrob: 2009
Saiz: M

Alkisah:

Warna merah itu tidak pernah menarik penglihatan saya. Tiada apa-apa yang menarik mengenainya walaupun memegang gelaran sebagai gergasi bolasepak Jerman. Namun, segala-galanya berubah dengan revolusi yang dikemudi oleh Louis Van Gaal.

Namun, segala-galanya berubah pada tahun 2009.

Waktu itu adalah peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah. Saya mengharapkan Manchester United akan mara ke peringkat seterusnya. Begitulah jangkaan saya. Pasukan kesayangan saya itu sedang mendahului 4-3 secara agregat. Pasukan lawan memerlukan satu gol lagi untuk menukar kedudukan untuk mara dengan gol di tempat lawan. Jantung saya berdebar menanti wisel penamat.

Saya jangka kedudukan akan kekal begitu. Namun, pada minit ke 76, satu hantaran silang telah dihantar tepat ke kaki pemain bernombor 10. Pemain itu melepaskan satu rembatan volley yang padu lalu menerjah ke dalam gol. Gol yang amat cantik. Para penyokong berteriak kesukaan. Pasukan kesayangan mereka akan layak ke separuh akhir. Mereka berterima kasih kepada penyelamat mereka berjersi nombor 10. Nama Arjen Robben bergema di seluruh stadium. Bukan nama Wayne Rooney.

Terlopong saya melihat jaringan itu. Hati saya bergetar. Bukan kerana kemarahan. Bukan kerana kekecewaan. Ada sesuatu yang membunga di dalam jiwa.

Wisel penamat akhirnya dibunyikan. Malam itu, Bayern Munich memenangi dua perkara; tempat di separuh akhir dan juga hati saya.

Seminggu kemudian, jersi pertama Bayern Munich berjaya memasuki wardrob saya.

Klik di sini untuk melihat koleksi jersi-jersi saya.


Tuesday, September 7, 2010

Jersi Pertama Barcelona

Barcelona Home 09/10
Tahun masuk wardrob: 2009
Saiz: M
Alkisah:
Nama Lionel Messi begitu sinonim dengan kelab ini. Pemain bolasepak berasal dari Argentina itu mempunyai kaki yang cukup pantas apabila menggelecek bola. Pergerakannya umpama belut menyukarkan pemain lawan untuk mengawalnya. Kaki kirinya seolah-olah mempunyai otak sendiri untuk berfungsi. Sememangnya seorang genius bolasepak. Tidak hairanlah pada tahun lepas dia dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia Fifa menewaskan Cristiano Ronaldo dengan egonya yang berkecai.
Saya meminati pasukan ini semenjak zaman Romario lagi. Bintang-bintang pasukan ini bertukar ganti. Daripada Romario dan Stoichkov kepada Ronaldo 'Gemuk' dan Figo kepada Ronaldinho dan kini Messi. Obor kegemilangan pasukan ini berpindah daripada bintang ke bintang, daripada pengurus ke pengurus dan masa Messi dan Guardiola adalah zaman terbaik Barcelona.
Saya juga merasakan sudah tiba masanya bagi saya menzahirkan kecintaan saya kepada pasukan ini. Lantas, apabila saya mendapat gaji saya pada bulan tersebut, setelah menolak semua pembayaran wajib yang perlu saya lunaskan, saya bergegas ke Peninsula Plaza yang terletak di North Bridge Rd untuk mendapatkan jersi tersebut. Jersi tersebut terpamer megah di ruang pameran kedai. Di sebelah kanannya tergantung set jersi Man Utd. Di sebelah kiri, Inter Milan. Namun, mata saya tetap tertumpu kepada jersi berbelang merah biru itu.
Saya meminta salah seorang petugas kedai itu untuk saiz S.
"Maaf," kata petugas tersebut. "Saiz M yang paling kecil."
Saya tidak berputus asa. "Boleh saya cuba saiz M?"
Tanpa membuang masa, petugas saya membenarkan saya untuk mencuba. Baju itu disarung dengan penuh harapan. Apabila tersarung, baju itu terasa agak longgar. Namun, jahitan di antara lengan dengan bahagian utama itu betul-betul kena di atas bahu.
"Cantik!" Hati saya bergetus. Saya memandang ke cermin untuk memastikannya. Saya tersenyum.
"Boleh?" Tanya petugas itu kemudian kepada saya.
"Boleh."
Setelah tawar-menawar, saya bersetuju untuk membeli jersi tersebut. Saya masukkan jersi itu ke dalam beg dan kemudian ke dalam wardrob saya. Akhirnya, jersi Barcelona saya yang pertama.
Untuk gambar-gambar lain jersi ini, klik di sini.

Saturday, August 28, 2010

Jersi Pertama

Man Utd Home Season 98/99
Saiz: M
Tahun Masuk Wardrob: 1999
Alkisah:
Saya sudah lama meminati pasukan Man Utd semenjak zaman Eric Cantona lagi. Namun, saya tidak pernah memiliki sebarang jersi pasukan ini. Hanya setelah pasukan ini memenangi treble pada tahun 1999, barulah saya berkesempatan untuk memuatkan jersi ini ke dalam wardrob saya.
Seingat saya, waktu itu kami sedang bersiap-siap untuk meninggalkan Singapura. Jodoh kami dengan Singapura amat singkat. Hanya bertahan selama 6 bulan sahaja. Yang lain-lainnya adalah sejarah yang akan tetap menginap di dalam laman memori kami semua.
Rumah kami di Jurong West sudahpun dijual. Kami sekeluarga duduk sementara di rumah arwah nenek di Holland Ave. Walaupun terpaksa berpetualang, kami amat gembira kerana akan kembali ke Terengganu.
Namun, memori di Singapura tidak mungkin dilupakan begitu sahaja. Saya mencari-cari buah tangan apakah yang perlu saya dapatkan untuk mengenang pengalaman singkat di tanah air ini. Saya melihat kepada Abi lalu meminta izin kepadanya untuk mengeluarkan sedikit wang dari akaun saya.
"Mahu beli jersi bola," kata saya apabila ditanya Abi akan tujuan saya.
Setelah satu sesi perdebatan singkat, akhirnya Abi bersetuju. Saya ditemani sepupu saya, Suheir a.k.a Yeng dan juga adik saya, Mu'az (Penyokong Chelsea) ke Queensway Shopping Centre untuk mendapatkan jersi yang diidam-idam.
Tahun itu, Man Utd baru sahaja memenangi tiga kejuaraan; Treble Yang Masyhur. Sebagai salah seorang peminat pasukan itu, saya mendapatkan jersi musim tersebut dengan harga S$ 75/-. Sememangnya pembelian yang berbaloi kerana selain daripada kit utama, saya juga dihadiahkan dengan sehelai jersi 'away' dan juga polo t-shirt.
Saya pulang tersenyum puas. Dengan memori yang tersemat, sememangnya jersi pertama yang akan sentiasa diingati.
Untuk gambar-gambar lain jersi ini, sila klik http://www.facebook.com/#!/album.php?aid=2071357&id=1357936636&ref=mf

Tuesday, August 24, 2010

Satu Baju, Satu Cerita

Sehelai jersi bolasepak menyimpan seribu macam cerita. Menjadi suatu kebudayaan bagi penyokong sesuatu pasukan untuk memiliki jersi pasukan mereka. Bagaikan suatu kegilaan, tidak kira pasukan itu menang atau kalah dan harga yang terus meningkat, sehelai jersi pasukan mesti ada tersimpan di dalam wardrob masing-masing.
Musim silih berganti. Daripada pertandingan yang besar seperti Piala Dunia, EPL, La Liga, Bundesliga dan Serie A kepada pertandingan-pertandingan yang kecil, setiap pasukan yang bertanding memiliki jersi mereka sendiri yang melambangkan identiti dan keazaman mereka sewaktu pertandingan.

Jersi memainkan peranan yang cukup besar terutama sekali apabila berada di dalam stadium. Pasukan 11 orang tiba-tiba menjadi beribu-ribu menentang pasukan lawan. Semangat memuncak apabila melihat sekeliling memakai warna yang sama.

Oleh kerana itu, saya membuka blog ini. Saya adalah pengumpul jersi bolasepak tetapi tidaklah sampai ke tahap obses. Setiap helai yang saya miliki mempunyai ceritanya yang tersendiri. Cerita yang saya rasakan bebaloi untuk dikongsi bersama.