Friday, February 24, 2012

Kembalinya Singa ke kandang Harimau!



Pasukan Singapura kembali ke kancah liga Malaysia! Pastinya suatu berita yang dinanti-nanti oleh warga Singapura yang dahagakan bolasepak yang kompetitif.

Kedatangan Singa ke kandang Harimau itu sudah pasti mengundang impak tertentu, sama ada diingini atau tidak. Justeru, tidak hairanlah, setelah beberapa keputusan perlawanan yang memihak kepada pasukan tersebut, maka mulalah tuduhan-tuduhan yang mengaitkan kedatangan pasukan tersebut yang dijenama semula sebagai Lions XII dengan gejala rasuah yang hampir memusnahkan permainan cantik itu suatu masa dahulu.

Memang mudah untuk menuding jari kepada Singapura kerana alasannya cukup mudah. Nilai matawang Singapura lebih tinggi berbanding nilai Ringgit Malaysia. Maka, kantung pemunya Dolar Singapura sudah tentu lebih besar dan ini memungkinkan bookie-bookie 'berkelayakan' untuk melabur secara haram melalui perlawanan-perlawanan yang diaturkan.

Kemungkinan itu memang ada, tetapi bak kata orang putih, "It takes two to tango." Jadi, kalau tidak sayangkan permainan cantik ini, silalah wahai bookie dan pemain-pemain yang tamak haloba teruskan perancangan strategik anda untuk memusnahkan 'the beautiful game' daripada bumi Malaysia.

Bagi saya pula, rasuah atau tidak, Singa sudah mula mengaum dan membaham di dalam kandang Harimau. Jadi, apa tindakan Harimau? Tengok sahaja? Atau menanti untuk melahap bangkai-bangkai sahaja?

p/s: Sedang mengumpul dana untuk mendapatkan Jersi Lions XII. Kasi panas sikit... Jangan marah ya rakan-rakan Malaysiaku! I love you all!

Sunday, September 4, 2011

Man Utd Home 2011/12: Lambang Juara

Tidak dapat tidak saya mesti mendapatkan jersi ini. Man Utd telah berjaya menjadi juara BPL buat kali ke 19. Suatu rekod mengatasi Liverpool dengan 18 kejuaraan. Dengan barisan pemain senior seperti Wayne Rooney, Ashley Young, Luis Nani, Chicharito dan juga pelapis muda seperti Jones, Smalling dan Cleverley, kejuaraan ke-20 nampaknya tidak jauh daripada gapaian.
Saya terpaksa menanti sehingga penghujung Ramadhan sebelum dapat memiliki jersi ini. Jersi ini adalah satu jersi yang cukup istimewa. Sekali lagi, lencana emas BPL tertampal di kedua-dua lengan baju tersebut. Untuk menjadikannya lebih istimewa, saya telah meminta supaya diletakkan nama dan nombor di belakang jersi itu.
Tidak... saya tidak meletak CHAMPIONS #19. Terlalu poyo. Tambahan pula, lencana di kiri dan kanan lengan baju sudah cukup untuk meceritakan kejuaraan yang telah dimiliki. Saya memikirkan masa hadapan. Saya memikirkan cita-cita.
BELIEVE #20? Hmm, cantik juga tu! Bagaimanapun, setelah dikira-kira bajet yang ada saya terpaksa melupakan hasrat tersebut.
Saya akhirnya memilih kepada sesuatu yang lebih nostalgik. Sesuatu yang menyebabkan saya jatuh cinta kepada kelab ini. Saya memilih nombor 7. Owen? Tolonglah... Ronaldo? Terlalu angkuh. Beckham? Banyak sangat skandal.
Nombor 7 yang saya maksudkan adalah CANTONA! Ya, saya masih ingat lagi tendangan kung funya yang ditujukan khas kepada seorang penyokong Crystal Palace suatu masa dahulu. Saya pilih Cantona kerana dialah fenomena MUFC. Mungkin suatu hari nanti saya akan bercerita secara khusus tentang insan ini tetapi buat masa ini, saya ingin bergaya dengan koleksi terbaru saya ini.
Macam biasa, kalau mahu melihat gambar-gambar lanjut jersi ini, anda boleh klik pada gambar yang tertera.

Saturday, July 2, 2011

Mukaddimah Koleksi 2011/12: Barcelona Home

Musim bolasepak 2011/12 bakal berlangsung lebih kurang 2 bulan lagi. Kelab-kelab bolasepak sudah mula memperkenalkan jersi pasukan masing-masing yang bakal disarung sepanjang musim tersebut. Sebagai penggemar fesyen bolasepak, saya juga tidak ketinggalan mengikuti perkembangan itu. Bahkan saya sudahpun mula mengisi wardrob saya dengan jersi bolasepak musim 2011/12.

Sudah pasti, jersi pertama yang menjadi koleksi saya adalah Raja Bolasepak Eropah, Barcelona. Musim ini, buat pertama kalinya di dalam sejarah, jersi mereka akan mempamerkan penaja pakaian. Daripada komen-komen yang telah saya baca, ramai penyokong yang tidak bersetuju dengan perletakan penaja ini. Tradisi akhirnya dipecahkan. Sesuatu yang mencalar legasi.

Walaupun saya bersetuju dengan sentimen tersebut, saya yakin ada sesuatu yang lebih besar yang mahu, boleh dan telah pun ditunjukkan oleh pasukan ini daripada penaja pakaian. Gaya bolasepak yang seksi dan luar daripada planet ini.

Secara keseluruhannya, saya menyukai jersi ini. Pakaian yang diperbuat daripada botol-botol plastik yang dikitar semula pasti menjadi kegemaran para pencinta alam. Stailnya juga tampak moden. Jersi ini lebih selesa dipakai berbanding dengan jersi sebelum ini. Jadi kesimpulan saya untuk jersi ini adalah seperti berikut:-

Keselesaan: 4 bintang
Stail: 4 bintang
Mesra alam: 5 bintang
Padanan harga: 4 bintang
Keseluruhan: 4 bintang

Tuesday, May 31, 2011

Akhir musim 2010/2011 bermakna?

Musim bolasepak 2010/2011 akhirnya melabuhkan tirainya. Barcelona seperti yang dijangka menjadi Raja Bolasepak Eropah dengan memperkotak-katikkan lawan-lawan mereka dengan permainan yang amat cantik. Mungkin gelaran itu adalah suatu understatement. Barcelona sebenarnya adalah sebuah pasukan yang berasal dari planet yang lain. Kemenangan terakhir mereka itu pasti akan membuatkan pasukan-pasukan lawan tercari-cari formula untuk menewaskan mereka. Diucapkan selamat berjaya kepada mereka tetapi kepada Barcelona, tahniah dan terima kasih kerana menghadiahkan corak permainan yang luar biasa.



Berakhirnya musim ini menandakan bermulanya persiapan untuk musim akan datang. Pastinya, pasukan-pasukan pilihan akan bersiap-siaga dengan persalinan jersi yang baharu.




Melihat kembali kepada wardrob saya, helaian-helaian jersi saya bertambah mendadak semenjak musim yang lalu. Jersi-jersi yang telah menjadi koleksi saya pada musim lepas adalah seperti berikut (Disusun mengikut kegemaran):


1- Barcelona Home 2010/11 #10 Messi

2- Spain Home 2011/12

3- Spain Home WC 2010 # 9 Torres

4- Korea Home AFC Cup 2011

5- Liverpool Home 2010/12 #8 Gerrard

6- Spain Away WC 2010 #7 Villa

7- Bayern Munich Home 2010/11 #10 Robben

8- MUFC Away 2010/11

9- MUFC Home 2010/11

10-Argentina Home WC 2010 #10 Messi

11- Algeria Away WC 2010

12- AC Milan Home 2010/11

13-Liverpool Away 2010/11 #9 Torres


Untuk musim akan datang, saya sudah menyenaraikan jersi-jersi yang bakal menjadi koleksi saya. Di antaranya adalah Barcelona Home 2011/12, Liverpool Away 2011/12, Argentina Home 2011/12 dan juga MUFC Home 2011/12. Mungkin juga kali ini saya akan beralih kepada liga tempatan pula. Terengganu tampak memberangsangkan pada musim ini. Memilik jersi pasukan negeri tempat saya membesar itu pasti menghadirkan sesuatu yang nostalgik.


Ada sesiapa tahu di mana saya boleh mendapatkan jersi Terengganu yang original? ;)

Saturday, January 29, 2011

Bintang Sepanyol

Corak hantaran pasukan ini sewaktu Piala Dunia yang lalu bukan berasal dari bumi. Barangkali pemain-pemain Sepanyol itu adalah makhluk asing yang menyamar sebagai manusia. Lihat sahaja cara permainan mereka. Hantaran-hantaran yang dilakukan seolah-olah menunjukkan mereka mempunyai kuasa telepati yang bukan berasal dari planet ini.
Apa-apa pun, sewaktu Piala Dunia belum pun melabuh tirai, saya sudah dapat merasakan getaran juara daripada pasukan ini. Warna merah, biru dan kuning jersi utama pasukan ini membuatkan saya begitu teringin untuk menyarungnya ke tubuh. Sayangnya, apabila sampai di kedai, jersi tersebut dengan saiz yang saya kehendaki sudah pun kehabisan stok. Barangkali ada hikmahnya juga jersi itu kehabisan stok pada waktu tersebut.
Beberapa bulan kemudian, saya sekali lagi ke kedai yang sama. Kebetulan pula waktu itu saya baru menerima gaji dan sengaja saya ke sana untuk melihat apa-apa jersi yang boleh dijadikan tambahan koleksi sedia ada. Waktu itulah saya terpandang akan jersi ini dengan saiz yang saya kehendaki. Apa yang lebih istimewa adalah 'satu bintang' yang tersulam di bahagian dada.
Tanpa membuang masa, jersi itu disambar sebagai koleksi. Nama Torres dan no 9nya dijadikan penghias jersi itu. Apabila jersi itu tersarung, saya merasakan yang saya tidak lagi berada di planet ini. Sungguh menakjubkan!
* klik gambar yang ada untuk foto-foto yang lain

Sunday, December 26, 2010

Saya dan Isteri-Isteri: Isteri #4

Koleksi di dalam wardrob? Liverpool Home 2010/12, Liverpool Away 2010/12
Alkisah...

Saya mengaku bahawa Man Utd adalah pasukan kesayangan saya. Namun, sebelum pasukan itu berjaya menambat hati ini, ada lagi satu pasukan yang telah berjaya melakukannya terlebih dahulu. Pasukan itu tidak lain dan tidak bukan adalah Liverpool FC.

Ya, Liverpool FC. Seteru tradisi Man Utd.
Kedua-dua pasukan ini mempunyai persamaan yang ketara. Dengan jersi merah kegemaran saya sebagai warna utama, kedua-dua pasukan ini juga memegang rekod kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang sama iaitu sebanyak 18 kejuaraan. Apa yang membezakan di antara kedua-dua seteru ini adalah cinta pandang pertama.
LFC adalah cinta pertama saya. Tiada sebab yang dapat saya cari untuk jatuh cinta dengan pasukan ini. Saya cuma jatuh cinta. Sayangnya, ketika itu cinta itu adalah cinta terlarang.
Tiada yang lebih utama sebagai cara saya untuk menunjukkan rasa cinta saya terhadap sesebuah pasukan melainkan dengan memakai jersi pasukan tersebut. Sayangnya, ketika itu, LFC mempamerkan jenama minuman keras pada jersinya. Oleh kerana itu, cinta itu saya pendam dalam-dalam sehinggalah Man Utd menjelma dan merampas kedudukan LFC di hati saya.
Segala-galanya berubah sehinggalah musim 2010/12. Apabila mendengar bahawa LFC telah menandatangani perjanjian penaja utama dengan Standard Chartered, cinta pertama itu memekar semula. Cinta itu tidak terlarang lagi.
Sememangnya LFC bukanlah sebuah pasukan yang hebat seperti dahulu. Bagaimanapun, pertembungan dengan Man Utd adalah sesuatu yang saya nanti-nanti saban tahun. Isteri #1 melawan Cinta #1.
Sungguh, saya mencintai kedua-duanya.


Sunday, December 12, 2010

Saya dan Isteri-Isteri: Isteri #3

Isteri #3

Sebab jatuh cinta? Dia membayangi Isteri #1


Alkisah...
Pada tahun 1999, Bayern Munich dan MUFC telah bertembung di dalam suatu pertemuan epik final Juara-Juara Eropah yang mana dimenangi oleh MUFC pada saat-saat akhir. Pada waktu itu, nama-nama seperti Oliver Kahn, Bixente Lizarazu dan Elber menjadi bintang kelab gergasi dari Jerman ini. Pertembungan kedua-dua pasukan amat sengit sehingga membuatkan saya tidak senang duduk sewaktu menonton perlawanan akhir ini. Pada saat itu, saya menyedari bahawa pasukan ini bakal memberi saingan kepada MUFC yang sudah pun menjadi Isteri # 1 pada ketika itu.
Bagaimanapun, hati tidak terpikat untuk melamar sehinggalah pada tahun 2010. Sekali lagi, kedua-dua pasukan itu bertempur. Kali ini lebih awal dan kali ini Bayern Munich berjaya membayangi MUFC dengan corak permainan total football yang menarik. Nama-nama seperti Arjen Robben, Schweinsteiger dan Ribery dinobat sebagai wira yang melakar revolusi bolasepak Jerman yang sebelum ini dianggap bosan dengan corak permainan steriotaip.
Maka, apabila saya melalui kedai jersi bolasepak, saya terus merembat sehelai jersi pasukan ini biarpun Inter Milan yang dianggap sebagai pilihan akhirnya menjuarai Juara-Juara Eropah pada tahun tersebut. Tiada penyesalan di dalam diri saya kerana saya tahu inilah pasukan inilah yang dapat mengawal dominasi pasukan-pasukan lain tanpa terlalu mendedahkan diri di dalam mengejar populariti.