Saya terpaksa menanti sehingga penghujung Ramadhan sebelum dapat memiliki jersi ini. Jersi ini adalah satu jersi yang cukup istimewa. Sekali lagi, lencana emas BPL tertampal di kedua-dua lengan baju tersebut. Untuk menjadikannya lebih istimewa, saya telah meminta supaya diletakkan nama dan nombor di belakang jersi itu.
Tidak... saya tidak meletak CHAMPIONS #19. Terlalu poyo. Tambahan pula, lencana di kiri dan kanan lengan baju sudah cukup untuk meceritakan kejuaraan yang telah dimiliki. Saya memikirkan masa hadapan. Saya memikirkan cita-cita.
BELIEVE #20? Hmm, cantik juga tu! Bagaimanapun, setelah dikira-kira bajet yang ada saya terpaksa melupakan hasrat tersebut.
Saya akhirnya memilih kepada sesuatu yang lebih nostalgik. Sesuatu yang menyebabkan saya jatuh cinta kepada kelab ini. Saya memilih nombor 7. Owen? Tolonglah... Ronaldo? Terlalu angkuh. Beckham? Banyak sangat skandal.
Nombor 7 yang saya maksudkan adalah CANTONA! Ya, saya masih ingat lagi tendangan kung funya yang ditujukan khas kepada seorang penyokong Crystal Palace suatu masa dahulu. Saya pilih Cantona kerana dialah fenomena MUFC. Mungkin suatu hari nanti saya akan bercerita secara khusus tentang insan ini tetapi buat masa ini, saya ingin bergaya dengan koleksi terbaru saya ini.
Macam biasa, kalau mahu melihat gambar-gambar lanjut jersi ini, anda boleh klik pada gambar yang tertera.
No comments:
Post a Comment