Saturday, January 29, 2011

Bintang Sepanyol

Corak hantaran pasukan ini sewaktu Piala Dunia yang lalu bukan berasal dari bumi. Barangkali pemain-pemain Sepanyol itu adalah makhluk asing yang menyamar sebagai manusia. Lihat sahaja cara permainan mereka. Hantaran-hantaran yang dilakukan seolah-olah menunjukkan mereka mempunyai kuasa telepati yang bukan berasal dari planet ini.
Apa-apa pun, sewaktu Piala Dunia belum pun melabuh tirai, saya sudah dapat merasakan getaran juara daripada pasukan ini. Warna merah, biru dan kuning jersi utama pasukan ini membuatkan saya begitu teringin untuk menyarungnya ke tubuh. Sayangnya, apabila sampai di kedai, jersi tersebut dengan saiz yang saya kehendaki sudah pun kehabisan stok. Barangkali ada hikmahnya juga jersi itu kehabisan stok pada waktu tersebut.
Beberapa bulan kemudian, saya sekali lagi ke kedai yang sama. Kebetulan pula waktu itu saya baru menerima gaji dan sengaja saya ke sana untuk melihat apa-apa jersi yang boleh dijadikan tambahan koleksi sedia ada. Waktu itulah saya terpandang akan jersi ini dengan saiz yang saya kehendaki. Apa yang lebih istimewa adalah 'satu bintang' yang tersulam di bahagian dada.
Tanpa membuang masa, jersi itu disambar sebagai koleksi. Nama Torres dan no 9nya dijadikan penghias jersi itu. Apabila jersi itu tersarung, saya merasakan yang saya tidak lagi berada di planet ini. Sungguh menakjubkan!
* klik gambar yang ada untuk foto-foto yang lain

No comments:

Post a Comment